Majlis Sentuhan Kasih Ramadan santuni anak yatim Kementerian Pertahanan





Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





JERUDONG, Khamis, 12 Mac. - Dalam menghayati nilai-nilai kerohanian serta keberkatan bulan suci Ramadan, Kementerian Pertahanan lewat petang tadi mengadakan Majlis Sentuhan Kasih Ramadan bagi menyantuni seramai 173 orang anak yatim dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan.


Daripada jumlah tersebut, 115 orang merupakan anak yatim daripada keluarga warga tentera, manakala 58 orang lagi daripada keluarga warga awam.


Majlis berkenaan diadakan secara serentak di Dewan Al-Barakah, Parkview Hotel, Jerudong sebagai tumpuan majlis, sementara majlis yang sama turut berlangsung di Dewan Nikmat, Penanjong Garison.


Hadir pada majlis yang berlangsung di Parkview Hotel ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, bersama isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.


Turut hadir, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, dan isteri; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin, serta barisan kepimpinan kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB.


Manakala di Penanjong Garison, sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim, dan isteri.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Poh Kui Choon.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Japar.


Sejurus itu majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, disusuli dengan acara bersungkai.


Sumbangan tersebut diperoleh melalui Tabung Kebajikan ABDB, Tabung Infaq ABDB, Persatuan Kebajikan Isteri (BAKTI) ABDB, serta sumbangan daripada anggota dan warga Kementerian Pertahanan, di samping kutipan derma daripada surau-surau ABDB.


Hasil kutipan derma yang berjaya dikumpulkan pada tahun ini berjumlah BND63,400.


Sumbangan tersebut diharap akan dapat membantu meringankan beban anak-anak yatim serta menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.


Majlis tahunan Sentuhan Kasih Ramadan mencerminkan penghargaan berterusan Kementerian Pertahanan terhadap jasa dan pengorbanan warga yang telah kembali ke rahmatullah, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam menjaga kebajikan keluarga yang ditinggalkan.


Close